Friday, February 03, 2006

Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah
Haji Omardin bin Mauju, dilahirkan pada 29 Mei 1941 di Puchong, Selangor. Tetapi beliau dibesarkan di Kampung Puah, Gombak, Selangor. Anak jati Selangor yang juga dibesarkan di kampung berkenaan sudah berdepan dengan keperitan hidup sejak kecil lagi akibat menderita penyakit lumpuh atau polio, iaitu sejenis penyakit yang amat sukar diubati ketika itu.

Namum, kesakitan itu tidak menghalang beliau dari berusaha mencari sesiapa sahaja yang boleh mengubatinya sehinggalah bertemu seorang guru silat iaitu Syed Abdul Rahman di Pulau Besar Melaka. Guru silat berkenaan menasihati Omardin mempelajari 'Silat Tarah', sebagai usaha mengubati penyakitnya. Maka, bermulalah sejarah silat dalam diri Omardin.

Minatnya terhadap silat semangkin mendalam apabila mendapati penyakitnya menunjukkan akan sembuh tetapi dalam masa yang sama beliau terpaksa menerima hakikat akan menghadapi kecacatan kedua-dua anggota kaki buat selama-lamanya. Sepanjang menjalani tempoh rawatan dan mempelajari silat, Omardin pernah ditanam dari kaki hingga ke paras pinggang sebanyak 15 kali di kawasan pantai pada setiap kali bulan mengambang.

Semua ujian itu dihadapi dengan tabah olehnya walaupun usianya ketika itu 18 tahun. Omardin terus mempelajari pelbagai teknik silat termasuk menyerang, cara bertahan serangan musuh serta menumpaskan musuh menggunakan segala pergerakan tubuh badan termasuk anggota kakinya yang cacat. Beliau bukan sahaja dilatih oleh Syed Abdul Rahman tetapi turut dibantu oleh tujuh orang anak murid gurunya yang juga rakan seperguruan beliau.

Berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan beliau, Omardin seakan-akan tidak percaya apabila beliau dilantik menjadi Guru Muda setelah 4 tahun bertungkus lumus mempelajari silat berkenaan apatah lagi usianya ketika itu baru 22 tahun. Kejayaannya tidak berakhir disitu kerana selang beberapa bulan kemudian setelah melalui penilaian dan ujian getir gurunya, Omardin dilantik sebagai 'Mahaguru' dan diberi kebenaran oleh Syed Abdul Rahman mengajar Silat Lincah.

Pengiktirafan 'Mahaguru' kepadanya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, Omardin membuktikan kecacatannya tidak menjadi halangan bagi menghadapi ujian kebatinan yang amat getir, antaranya ialah ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas dan yang paling mencemaskan apabila beliau ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam.
Upacara pertabalan Omardin sebagai 'Mahaguru' dilakukan di Makam Sheikh Ismail Sultan Ariffin, Pulau Besar Melaka. Dengan melalui pelbagai adat istiadat. Dalam upacara itu juga, beliau menerima anugerah peralatan gurunya sebagai waris semua ilmu yang dimiliki oleh gurunya. Selesai upacara adat istiadat, Omardin dimandikan di 'Perigi Nenek Kebayan' dan di limau di 'Makam Tujuh Beradik' sebagai penamat upacara pertabalan.

Setelah tamat berguru dengan Syed Abdul Rahman, beliau diwasiat oleh gurunya supaya berguru dengan empat orang guru lain. Bagi memenuhi wasiat berkenaan beliau mendalami ilmu silat dan kebatinan dengan Kiyai Haji Nong Lias di Rantau, Negeri Sembilan, selepas itu beliau berguru dengan Wan Alang dari Bukit Selambau, Kedah. Manakala guru ketiganya ialah Syed Mohammed Al-Qadri dan guru keempatnya ialah Tuan Haji Salleh Patani.

Beliau kemudiannya berangkat ke Tanah Suci Mekkah bersama-sama dengan 37 orang jurulatih untuk 'nas'kan (mengesahkan) ilmunya. Pulang ke tanah air, Silat Lincah mula mencipta sejarah. Dengan hanya lima orang anak murid asal, Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dari situ Silat Lincah terus berkembang di seluruh pelusuk tanah air sehingga pendaftarannya sebagai pertubuhan diluluskan dan dikenali Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM). Omardin, juga pernah mengadakan beberapa siri persembahan Silat Lincah diluar negara termasuk di Indonesia , Singapura , Thailand , Filipina, Brunei , Hong kong , Jepun , Korea Selatan , Pakistan , India dan Mekkah. Kejayaan Silat Lincah menguasai dunia antarabangsa bermula selepas 4 Disember 1976, dimana satu upacara demonstrasi Silat Dunia anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia diadakan di Kuala Lumpur . Selepas tarikh keramat inilah, dua orang anak muda dari England dan Belgium , Glenn Lobo dan Christtopher Bogaerts datang ke Kuala Lumpur untuk mempelajari Silat Lincah.Disinilah bermulanya Silat Lincah menembusi dunia antarabangsa.

Disebalik kejayaan itu, Omardin dengan idea dan pandangannya berjaya menarik beberapa buah badan gabungan silat untuk bergabung di peringkat rantau Asean. Malah dengan idea dan susah payahnya juga tertubuhnya Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), yang kini menjadi tunjang kepada semua pergerakan seni silat di Malaysia .

Silat Lincah sekali lagi mencipta nama apabila Omardin dan ratusan anak muridnya terbabit menjayakan filem dokumentari 'One Step Into The Beyong' atau 'Selangkah Ke Alam Batin' yang bukan sahaja ditayangkan untuk tatapan umum tetapi sekaligus membuka satu lembaran baru mengenai dunia silat Melayu, malah kegemilangan Silat Lincah yang akhir mengangkat Omardin sebagai pejuang silat Melayu.

No comments: