Wednesday, July 12, 2006




POSTER SELANGKAH KE ALAM BATIN

Wednesday, May 10, 2006

PERMAINAN TEMPUR PARANG

Friday, March 31, 2006

Video PSSLM mewakili Malaysia ke World Martial Arts, Korea

Monday, March 27, 2006

Pulau Besar, Melaka....Tunggulah Ketibaan Kami di sana pada 1 April 2006 ini....

Tuesday, March 21, 2006

Sajak Silat Lincah

Salam Jebat Salam Panglima
Semangat Jebat Semangat Perwira
Inilah Hakikat Yang Kami Bawa
Silat Lincah Pusaka Bangsa

Di Pulau Besar Di Tanah Melaka
Kekahiran Lincah tanpa Tercela
Di Sinilah Semadinya Jebat PErkasa
Mati Berdarah Bukti Pendekar

Abad Datang Abad Yang Pergi
Banyak Yang Tumbang Bangun Kembali
Akhirnya Tegaklah Silat Lincah
Menjadi Pertubuhan Silat Di Malaysia

Hijau Kuning Merah Lambang Lincah
Tanda Semangat Darah Satria
Putih Bersih Jiwa Nan Suci
Amalan Lincah Setia Dihati

JEBAT....JEBAT SEMANGAT KAMI
Simbol Keazaman Kekuatan Sejati
Semoga Lincah Harum Mewangi
Lambang Kebudayaan Negara Ini


Kemahsyuran Lincah Sukar Disangkal
Didesa Di pekan Rakyat mengenal
Mahaguru Omardin Pejuang Unggul
Bapa Persilatan Yang Paling Agung

Kini Tersebar Di Nusantara
Negara Asean Dan Jiran Tetangga
Doa Kami Lincah Kemuka
Menjadi Barisan Pertahanan Negara

Thursday, March 16, 2006

Gambar-gambar Aktiviti PSSLM T.U.I

Thursday, February 16, 2006

Aktiviti Terbaru PSSLM TUI

Ahli-ahli PSSLM Taman Universiti Indah mula menempah nama dalam arena persilatan lincah tanahair....antara beberapa aktiviti terbaru kami adalah menjadi Perwakilan di dalam Mesyuarat Agong PSSLM Negeri Selangor.

Kemudian kami terlibat di dalam Majlis Makan Malam bersama pimimpin di Grand Seasons Hotel Kuala Lumpur. Kami menjadi penyambut dan pengiring kepada para tetamu kehormat. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Prisiden PESAKA mewakili Ulul Amri 3 PSSLM Dato' Seri Najib Tun Razak, Dato Othman bin Desa; Presiden PSSLM, Dato' Seri Khir Toyo, Dato' Seri Abdul Kadir Sheikh Fadhil dan beberapa org lagi. Mahaguru dan Pengasas PSSLM turut hadir di majlis ini.

Aktiviti lain kami adalah Pertunjukan Silat sempena Majlis Pelancaran Papan Tanda Belia Benci Dadah yang dilancarkan olen Datin Paduka Azalina Osman Said; Menteri Belia dan Sukan. Kami mendapat tepukan dan sorakan yang gemuruh di majlis tersebut. Ini adalah Pertunjukan Silat yang ketiga bagi PSSLM Taman Universiti Indah. Sebelum ini kami pernah mengadakan pertunjukan di majlis Mesyurat Agong Majlis Belia Malaysia negeri Selangor yang dirasmikan oleh Dato' Seri Said Hamid Albar. Dan pertunjukan pertama kami adalah di majlis persandingan ahli kami di Serdang.

Gambar-gambar akan dimasukkan tidak lama lagi...

Friday, February 03, 2006

Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah
Haji Omardin bin Mauju, dilahirkan pada 29 Mei 1941 di Puchong, Selangor. Tetapi beliau dibesarkan di Kampung Puah, Gombak, Selangor. Anak jati Selangor yang juga dibesarkan di kampung berkenaan sudah berdepan dengan keperitan hidup sejak kecil lagi akibat menderita penyakit lumpuh atau polio, iaitu sejenis penyakit yang amat sukar diubati ketika itu.

Namum, kesakitan itu tidak menghalang beliau dari berusaha mencari sesiapa sahaja yang boleh mengubatinya sehinggalah bertemu seorang guru silat iaitu Syed Abdul Rahman di Pulau Besar Melaka. Guru silat berkenaan menasihati Omardin mempelajari 'Silat Tarah', sebagai usaha mengubati penyakitnya. Maka, bermulalah sejarah silat dalam diri Omardin.

Minatnya terhadap silat semangkin mendalam apabila mendapati penyakitnya menunjukkan akan sembuh tetapi dalam masa yang sama beliau terpaksa menerima hakikat akan menghadapi kecacatan kedua-dua anggota kaki buat selama-lamanya. Sepanjang menjalani tempoh rawatan dan mempelajari silat, Omardin pernah ditanam dari kaki hingga ke paras pinggang sebanyak 15 kali di kawasan pantai pada setiap kali bulan mengambang.

Semua ujian itu dihadapi dengan tabah olehnya walaupun usianya ketika itu 18 tahun. Omardin terus mempelajari pelbagai teknik silat termasuk menyerang, cara bertahan serangan musuh serta menumpaskan musuh menggunakan segala pergerakan tubuh badan termasuk anggota kakinya yang cacat. Beliau bukan sahaja dilatih oleh Syed Abdul Rahman tetapi turut dibantu oleh tujuh orang anak murid gurunya yang juga rakan seperguruan beliau.

Berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan beliau, Omardin seakan-akan tidak percaya apabila beliau dilantik menjadi Guru Muda setelah 4 tahun bertungkus lumus mempelajari silat berkenaan apatah lagi usianya ketika itu baru 22 tahun. Kejayaannya tidak berakhir disitu kerana selang beberapa bulan kemudian setelah melalui penilaian dan ujian getir gurunya, Omardin dilantik sebagai 'Mahaguru' dan diberi kebenaran oleh Syed Abdul Rahman mengajar Silat Lincah.

Pengiktirafan 'Mahaguru' kepadanya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, Omardin membuktikan kecacatannya tidak menjadi halangan bagi menghadapi ujian kebatinan yang amat getir, antaranya ialah ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas dan yang paling mencemaskan apabila beliau ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam.
Upacara pertabalan Omardin sebagai 'Mahaguru' dilakukan di Makam Sheikh Ismail Sultan Ariffin, Pulau Besar Melaka. Dengan melalui pelbagai adat istiadat. Dalam upacara itu juga, beliau menerima anugerah peralatan gurunya sebagai waris semua ilmu yang dimiliki oleh gurunya. Selesai upacara adat istiadat, Omardin dimandikan di 'Perigi Nenek Kebayan' dan di limau di 'Makam Tujuh Beradik' sebagai penamat upacara pertabalan.

Setelah tamat berguru dengan Syed Abdul Rahman, beliau diwasiat oleh gurunya supaya berguru dengan empat orang guru lain. Bagi memenuhi wasiat berkenaan beliau mendalami ilmu silat dan kebatinan dengan Kiyai Haji Nong Lias di Rantau, Negeri Sembilan, selepas itu beliau berguru dengan Wan Alang dari Bukit Selambau, Kedah. Manakala guru ketiganya ialah Syed Mohammed Al-Qadri dan guru keempatnya ialah Tuan Haji Salleh Patani.

Beliau kemudiannya berangkat ke Tanah Suci Mekkah bersama-sama dengan 37 orang jurulatih untuk 'nas'kan (mengesahkan) ilmunya. Pulang ke tanah air, Silat Lincah mula mencipta sejarah. Dengan hanya lima orang anak murid asal, Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dari situ Silat Lincah terus berkembang di seluruh pelusuk tanah air sehingga pendaftarannya sebagai pertubuhan diluluskan dan dikenali Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM). Omardin, juga pernah mengadakan beberapa siri persembahan Silat Lincah diluar negara termasuk di Indonesia , Singapura , Thailand , Filipina, Brunei , Hong kong , Jepun , Korea Selatan , Pakistan , India dan Mekkah. Kejayaan Silat Lincah menguasai dunia antarabangsa bermula selepas 4 Disember 1976, dimana satu upacara demonstrasi Silat Dunia anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia diadakan di Kuala Lumpur . Selepas tarikh keramat inilah, dua orang anak muda dari England dan Belgium , Glenn Lobo dan Christtopher Bogaerts datang ke Kuala Lumpur untuk mempelajari Silat Lincah.Disinilah bermulanya Silat Lincah menembusi dunia antarabangsa.

Disebalik kejayaan itu, Omardin dengan idea dan pandangannya berjaya menarik beberapa buah badan gabungan silat untuk bergabung di peringkat rantau Asean. Malah dengan idea dan susah payahnya juga tertubuhnya Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), yang kini menjadi tunjang kepada semua pergerakan seni silat di Malaysia .

Silat Lincah sekali lagi mencipta nama apabila Omardin dan ratusan anak muridnya terbabit menjayakan filem dokumentari 'One Step Into The Beyong' atau 'Selangkah Ke Alam Batin' yang bukan sahaja ditayangkan untuk tatapan umum tetapi sekaligus membuka satu lembaran baru mengenai dunia silat Melayu, malah kegemilangan Silat Lincah yang akhir mengangkat Omardin sebagai pejuang silat Melayu.

Thursday, February 02, 2006



KERIS

Keris ialah sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu yang digunakan sejak lebih daripada 600 tahun dahulu. Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Selatan Thailand (Patani), Selatan Filipina (Mindanao) dan Brunei.

Ia digunakan untuk mempertahankan diri (misalnya sewaktu bersilat) dan alat kebesaran DiRaja. Ia juga merupakan simbol kedaulatan orang Melayu. Keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata pahlawan Melayu yang terkenal iaitu Hang Tuah.

Keris berasal dari Kepulauan Jawa dan keris purba telah digunakan antara abad ke 9 dan ke 14 TM. Keris terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung. Senjata ini sering dikaitkan dengan kuasa mistik oleh orang Melayu pada waktu dahulu. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri.

Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. Ada juga amalan mengasam limaukan keris sebagai cara menjaga logam keris dan juga menambah bisanya.

Wednesday, January 25, 2006


Majlis Perasmian Gelanggang

Majlis ini diadakan pada 15hb Januari 2006 yang lalu. Majlis ini bertujuan untuk majlis adat penerimaan ahli PSSLM Taman Universiti Indah dan seterusnya merasmikan gelanggang PSSLM Taman Universiti Indah.

Majlis ini dirasmikan oleh Guru Haji Megat Zulkarnain bin Dato' Haji Omardin selaku timbalan Presiden PSSLM dan Pemangku Guru Muda. Majlis adat pula di jalankan oleh Guru Pendekar Mohd Yusof bin Mohd Noor Pemangku Guru Muda. Majlis ini juga dihadiri oleh Cikgu Muhammad Hairil bin Tanuri selaku Timbalan 1 Ketua Jurulatih Kanan Malaysia, Cikgu Azrol Nizam bin Razlan selaku Timbalan 1 Ketua Jurulatih Kanan Negeri Selangor, Cikgu Johari bin Jantan selaku Ketua Jurulatih Wilayah Persekutuan, Cikgu Mohd Syafiee selaku Setiausaha Kejurulatihan dan Jurulatih dari gelanggang luar bersama dengan pelatihnya.

Majlis ini turut dimeriahkan oleh persembahan silat daripada pelatih-pelatih darai gelanggang PSSLM Taman Universiti Indah sendiri dah turut disertai oleh beberapa orang pelatih dari gelanggang PSSLM Desa Tun Razak.

Tuesday, January 24, 2006

Malam Pendekar Lincah anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Pulau Pinang. Ini adalah penyertaan ahli PSSLM TUI yang pertama diperingkat Kebangsaan. Seramai 10 orang ahli yang terlibat di majlis tersebut. Penyertaan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu kami mengenal jurulatih-jurulatih luar serta melihat dan mempelajari perjalanan sesebuah majlis. Kami yang terlibat ini terdiri daripada ahli yang dewasa iaitu Mus, Hapis Mazlan, Nazem, Emi, Aman, Wan, Aman, Sohaidi, Bentan, Zul dan Cikgu Helmy. Kami adalah wakil gelanggang Taman Universiti Indah yang dipanggil untuk turut serta dalam majlis ini dan mewakili Negeri Selangor. Turut sama dalam mewakili Negeri Selangor adalah dari gelanggang Desa Tun Razak, Gombak, Damansara Damai. Seramai lebih kurang 44 orang ahli dan jurulatih terlibat dalam mewakili Negeri Selangor ini.

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Cawangan Taman Universiti Indah ditubuhkan pada pertengahan bulan Ogos 2005. Ia telah menarik minat remaja dan belia di Taman Universiti Indah sendiri dan kawasan perumahan sekitarnya untuk turut serta dalam PSSLM TUI ini. Keahlian PSSLM TUI ini adalah seramai 49 orang yang terdiri daripada pelbagai umur.

Gelanggang ini adalah dibawah kelolaan jurulatih yang ditauliahkan oleh PSSLM seramai 4 orang. Ketua jurulatih gelanggang ini adalah Cikgu Zainal bin Sentol selaku penyandang Selendang Merah Hitam dan jurulatih lain adalah Cikgu Mohammad Helmykhalid bin Khairuddin, Cikgu Atan dan Cikgu Abdul Rahman. Gelanggang ini juga sangat bertuah kerana adanya jurulatih yang aktif diperingkat negeri dan pertubuhan iaitu Cikgu Mohammad Helmykhalid selaku Timbalan 2 Ketua Jurulatih Kanan Negeri Selangor merangkap Exco PSSLM. Antara kelebihan lain gelanggang ini juga adalah Cikgu Khairuddin bin Mustapa, Ketua Jurulatih Kanan Malaysia adalah bapa kepada Cikgu Mohammad Helmykhalid dan beliau selalu turun ke gelanggang kami untuk melihat keadaan kami dan memberikan tunjuk ajar.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Cawangan Taman Universiti Indah ini bolehlah datang terus ke gelanggang kami di perkarangan Surau Al-Husna Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, Selangor pada hari latihan iaitu pada setiap hari Selasa dan Jumaat pukul 9.10 malam atau selepas Solat Isyak.